Rancang hantar pemain golf MSSM ke luar negara
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata antara perkara yang dibincangkan ialah jumlah pelajar yang akan dihantar ke Amerika Syarikat (AS) untuk melanjutkan pelajaran sambil mengikuti latihan sukan golf.
"Ini kerana program sebegini melibatkan kos yang tinggi. Namun jika semuanya berjalan lancar Kementerian Pendidikan merancang untuk menghantar kumpulan pertama pelajar tahun depan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis mesra Menteri Pendidikan bersama atlet murid golf pada kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Kelab Golf Saujana Impian di sini hari ini.
Antara perkara lain yang dibincangkan bersama MGA ialah sama ada untuk menghantar murid selepas menamatkan tingkatan tiga bagi menyambung persekolahan di Miami atau Florida contohnya dan seterusnya mengikuti program ijazah, katanya.
"Perkara lain yang perlu diberikan pertimbangan ialah apakah pelajar itu akan melibatkan diri sebagai pemain golf profesional semasa di AS atau pulang ke Malaysia terlebih dahulu," katanya dan menambah antara perkara yang turut perlu dipertimbangkan ialah mengenai soal penajaan.
Tambah Mahdzir, Bahagian Sukan dan Bahagian Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia sedang mendapatkan khidmat Persatuan Golf Malaysia dari segala aspek sebelum sebarang keputusan dibuat.
Menurutnya, setakat ini pemain golf profesional yang mengikuti latihan di AS adalah atas perbelanjaan sendiri. - Bernama

No comments:
Post a Comment